Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for November 2007

Bukan Yang Pertama

Ini entah yang keberapa. Mungkin ini sudut lembar digital yang ketiga milik ana. Yang pertama dan kedua, semuanya terasa perlu diabadikan menjadi bacaan peribadi saja. Entah kenapa, pada skala-skala tertentu atas garisan masa kehidupan, akan tiba masanya ana terasa perlu untuk mencari titik pusingan graf hidup. Terasa hilang daya untuk terus melukis garisan menaik, sedangkan mata pena sudah mula hilang dakwatnya.

Mengapa ya? Barangkali kerana mengidamkan “a fresh new start” untuk beberapa perkara. Barangkali juga kerana ingin menguburkan kisah-kisah dan pengalaman yang lama-lama.  Barangkali juga mahu memulakan sesuatu yang baru dan menyegarkan. Tentunya semua ini lantaran semangat-semangat baru sudah mula menguasai atma paling dalam, menyubur tekal dan menyuarakan bisikan-bisikan untuk terus thabat mengharung seribu macam mehnah.

Melangkahkan kaki atas jalan dakwah bukan sesuatu yang mudah. Hanya mata yang telah memakai lensa islami saja yang akan terus melihat jalan untuk disusur ini penuh terang dan nyata. Timbunan ‘sampah materialism’ yang menghempap dan menebak sisa-sisa iman yang mula bercambah dalam hati pastinya akan memberi kabur pada mata yang memandang. Apapun, tentulah Allah yang Maha Mencipta itu yang memegang qadar segalanya. Jadi, berharaplah hanya pada-Nya.

Kadangkala langkahan menjadi perlahan apabila semangat mula digodam ujian. Adakalanya syaitan mula membisik bahawa kerja membina ummah ini seolah membina istana pasir. Takkan mampu terbina tinggi, akan roboh dihempas ombak. Namun, semangat-semangat orang lama baik jauh dan dekat membuatkan hati kepingin melaungkan slogan mereka; “Inilah aku! Inilah jalanku!”

Manusia sebenarnya hanya akan menjadi mulia tatkala menjulang islam dalam jiwanya. Tanpa islam, segalanya hilang makna. Ayuh rasakan getarannya. Getaran inqilabiyyah atas dasar iman! Jangan gentar, jangan pernah sesal berada atas jalan ini. Katakanlah; “inilah jalanku, aku mengajak manusia kepada Allah dengan hujah yang nyata…” (Surah Yusuf : 108)

Salam juang dari DaieyahMalaya yang (insyaAllah) baru memulakan langkah lajunya.  Wassalam.

Advertisements

Read Full Post »