Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for the ‘peribadi’ Category

Inspirasi

Tidak berapa lama dahulu, ana berpeluang diskusi dengan beberapa aktivis-aktivis yang terkehadapan dalam arena dakwah. Satu daripadanya Ustaz Mustafa Tahan dari Timur Tengah, yang pendapatnya begitu membekas walau disampaikan dengan nada bersahaja.

Bagi ana, sosoknya sudah cukup menggambarkan tawadhuknya. Wajahnya tenang, pembawakan dirinya begitu low-profile. Tiada jubah, tiada igal. Hanya bercelana slack serta berkemeja T berkolar. Namun, terpancar kekuatan pada wajahnya. Ustaz sepertinya, memang daie tauladan. Tidak perlu mengutarakan pendapat dengan bertegang leher, cukup sekadar nasihat-nasihat penuh hikmah lantas kata-katanya terus saja memberi impak besar kepada kami yang mendengar. Inilah yang dikatakan daie yang sememangnya bercakap melalui ‘amal. Kata-kata yang hanya sedikit mampu memberi impak yang besar. Masha-Allah.

Salah satu perkara yang ditegur beliau dengan ‘tajamnya’ adalah tentang syabab dan muzik. Nyata, beliau kurang senang dengan the growing number of nasheed yang sudah tidak seperti nasheed. Nasheed pada akarnya harus bertepatan landas-landas Islam serta membangkit semangat juang. Sebagai aktivis dakwah, harus juga nasheed yang didengari itu bertepatan dengan ‘thiqah’ seorang daie. Ada benarnya, kerana memang sesetengah perkara tidak selayaknya dilakukan oleh daie atau murabbi. =) Beliau meminta para pemuda merujuk kepada kompilasi anasheed yang liriknya dicipta oleh daie-daie yang soleh yang antaranya Ustaz Yusuf Qardhawi.

Satu sifat beliau yang amat menarik perhatian ana adalah bagaimana beliau begitu teliti menghubungkaitkan semua isu dengan perancangan dakwah. Ana fikir, inilah dia sifat manusia yang akan mencetus revolusi ketamadunan, bila mana semua perkara dilihat melalui kaca mata dakwah. Tiada kepentingan lain yang difikirkan melainkan hanya Islam. Semua perkara dibuat demi dakwah. Semua isu dinilai, kemudian dihubungkaitkan dengan maslahah dakwah. Padanya, hanya satu kepentingan yang diambilkira: itulah kepentingan dakwah!

Bagi seorang daie, tiada apa lagi yang bernilai padanya melainkan melihat Islam tertegak atas bumi Allah ini. Kerana daie tentunya akan selalu ingat bahawa Allah telah berjanji menukarkan orang yang enggan membela Allah dengan mereka yang lebih baik, lebih menyayangi-Nya. Lantaran ini, tiada lain yang menjadi tujuan hidup daie, melainkan menjalankan tugas ‘abid dan khalifah. Kerana itulah segalanya demi dakwah. Cita-citanya begitu besar, pemikirannya begitu lebar.
Ana kira daie seperti Ustaz Mustafa -dan banyak lagi daie yang kita tidak tahu namanya tetapi Allah mengetahuinya- barangkali sudah ‘hilang’ kampungnya, kerana seluruh masanya ke hulu ke hilir mengemudi bahtera dakwah. SubhanaLLah. Di saat para ‘pelanduk’ yang jinak tidur nyenyak di ‘kampung’ asalnya, daie sepertinya ke sana ke mari mencari jundi dakwah, mengejutkan yang nyenyak agar bangkit dari lena. Tanah air bagi seorang daie bukan lagi tanah tempat lahirnya, tetapi aqidahnya. Maka untuk apa lagi berkorban jika bukan untuk bertemu Haura sambil menikmati raheeq makhtum dan thalhah di Jannah?

Syurga itu benar ada, sebagaimana neraka itu benar wujudnya. Daie seharusnya memilih yang pertama, lantas menuntun umat manusia ke jalan yang sama. Jangan dibiar mereka terjun ke jurang itu, kerana kita harus bimbang kalau-kalau kaki kita ditariknya sama! Mereka ini layak menjadi inspirasi, hanya tinggal kita menjalankan peranan kita…

Currently listening: ‘Di Manakah Abi’.
Mode: Awaiq

Read Full Post »

Bukan Yang Pertama

Ini entah yang keberapa. Mungkin ini sudut lembar digital yang ketiga milik ana. Yang pertama dan kedua, semuanya terasa perlu diabadikan menjadi bacaan peribadi saja. Entah kenapa, pada skala-skala tertentu atas garisan masa kehidupan, akan tiba masanya ana terasa perlu untuk mencari titik pusingan graf hidup. Terasa hilang daya untuk terus melukis garisan menaik, sedangkan mata pena sudah mula hilang dakwatnya.

Mengapa ya? Barangkali kerana mengidamkan “a fresh new start” untuk beberapa perkara. Barangkali juga kerana ingin menguburkan kisah-kisah dan pengalaman yang lama-lama.  Barangkali juga mahu memulakan sesuatu yang baru dan menyegarkan. Tentunya semua ini lantaran semangat-semangat baru sudah mula menguasai atma paling dalam, menyubur tekal dan menyuarakan bisikan-bisikan untuk terus thabat mengharung seribu macam mehnah.

Melangkahkan kaki atas jalan dakwah bukan sesuatu yang mudah. Hanya mata yang telah memakai lensa islami saja yang akan terus melihat jalan untuk disusur ini penuh terang dan nyata. Timbunan ‘sampah materialism’ yang menghempap dan menebak sisa-sisa iman yang mula bercambah dalam hati pastinya akan memberi kabur pada mata yang memandang. Apapun, tentulah Allah yang Maha Mencipta itu yang memegang qadar segalanya. Jadi, berharaplah hanya pada-Nya.

Kadangkala langkahan menjadi perlahan apabila semangat mula digodam ujian. Adakalanya syaitan mula membisik bahawa kerja membina ummah ini seolah membina istana pasir. Takkan mampu terbina tinggi, akan roboh dihempas ombak. Namun, semangat-semangat orang lama baik jauh dan dekat membuatkan hati kepingin melaungkan slogan mereka; “Inilah aku! Inilah jalanku!”

Manusia sebenarnya hanya akan menjadi mulia tatkala menjulang islam dalam jiwanya. Tanpa islam, segalanya hilang makna. Ayuh rasakan getarannya. Getaran inqilabiyyah atas dasar iman! Jangan gentar, jangan pernah sesal berada atas jalan ini. Katakanlah; “inilah jalanku, aku mengajak manusia kepada Allah dengan hujah yang nyata…” (Surah Yusuf : 108)

Salam juang dari DaieyahMalaya yang (insyaAllah) baru memulakan langkah lajunya.  Wassalam.

Read Full Post »